Senarai top terbaik Artis Malaysia yang kuat melatah

0
1235


Senarai top terbaik Artis Malaysia yang kuat melatah

AKSI melatah sememangnya mencuit hati dan menghiburkan. Individu yang melatah dianggap penghibur oleh teman sekeliling dan kerap menjadi tumpuan pada sesebuah majlis.

Anehnya, melatah hanya terjadi dalam kelompok masyarakat Melayu terutama Malaysia, Brunei dan Indonesia dan tidak berlaku di negara Barat.

Pakar Psikologi, Dr William S Buroughs, menjelaskan latah terjadi dalam keadaan situasi terkejut melampau (hyperstartling), yang ditemui di Asia Tenggara pada sesetengah bangsa saja dan amnya pada wanita.

Latah dipercayai berkait rapat antara fungsi sistem saraf pusat, psikologi serta sosial dan ia terikat dengan sistem budaya sesuatu masyarakat. Lebih menarik, perkataan yang sering diucap ketika melatah, bukanlah perkataan yang baik-baik sebaliknya kurang manis atau dengan lebih tepat, mencarut. Bagi sesetengah pelatah kronik, mereka bertindak secara fizikal dan boleh membahayakan atau mencederakan sesiapa yang berdekatan ketika itu.

Artis atau selebriti juga tidak terkecuali. Penyanyi Amy Mastura dan Ieda Moin serta pelakon, Noorkhiriah, antara artis yang diketahui ramai, kuat melatah. Malah, aksi melatah mereka ketika program siaran langsung juga dapat disaksikan, selain video yang dimuat naik dalam media sosial.

RYZAL Jaafar melatah kerana terpengaruh ketika di set penggambaran. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pelakon, Ryzal Jaafar, 33, yang pernah dikenali menerusi drama Jelatang dan kini muncul dengan label fesyen pakaian jubah lelaki, Arata by Ryzal Jaafar menyifatkan tahap latah yang dimilikinya tidak sampai tahap yang membimbangkan atau terlalu kronik.

“Saya mula melatah sejak terbabit dengan produksi dan penggambaran membabitkan jurusolek serta kru yang suka melatah. Dari situ, secara tak langsung terpengaruh. Tapi yang tak seronoknya, kalau saya melatah, selalu akan keluar perkataan yang tak sedap didengar. Kebiasaannya akan keluar perkataan ‘mencarut’. Kadang-kadang, keluar juga perkataan Ya Allah dan Allahu Akbar. Tengok keadaan.

“Benar selalu yang terkena sindrom melatah ini ialah golongan perempuan. Tapi sekarang, lelaki pun terjebak sama. Jadi kalau ada yang melihat perihal melatah dalam kalangan lelaki ini akan menimbulkan persoalan seperti hilang macho atau kejantanan, ia sebenarnya terlalu subjektif dan tak boleh dikawal.

“Secara automatik, kalau saya terkejut memang cepat sahaja rangsangan melatah itu akan muncul. Pada suatu ketika, apa yang saya melatah itu bergantung juga kepada apa yang saya tengah fikirkan. Apabila terkejut memang serta-merta akan keluar perkataan yang ada dalam fikiran ketika itu. Selalunya saya melatah dalam keadaan terkejut dan tidaklah sampai dicuit orang akan terus melatah,” katanya.

Disebabkan beliau juga berhadapan masalah melatah, Ryzal memilih untuk tidak mencuit atau menyakat orang melatah kerana tidak sanggup melihat mereka dibuli.

“Macam saya pernah kenal makcik yang jadi pelakon tambahan untuk sebuah penggambaran drama…tahap melatahnya memang teruk. Saya tak usik dia sebab kasihan dengannya,” katanya.

IEDA Moin mula melatah ketika di Tingkatan Empat. – Foto Maya Sarina Mahat

Ieda Moin pula memberitahu, beliau mula melatah ketika menuntut di Tingkatan Empat.

“Masa itu sekitar tahun 1994, saya ada latihan menari. Puncanya ketika menari, tepak sirih terjatuh dan saya mula tak sedar apa yang keluar dari mulut. Memang kacau masa itu dan berlarutan sampai sekarang.

“Selalunya keluar macam-macam perkataan yang terlintas secara spontan ketika itu. Cuma kebiasaannya saya selalu sebut perkataan ‘apa’ sambil dua tangan diletakkan di ketiak. Ada satu ketika, bas membunyikan hon, saya yang ketika itu tengah berjalan, tiba-tiba menahan bas,” katanya.

LIA Natalia mengakui dijangkiti latah akibat suka menyakat orang yang melatah. – Foto NSTP

Pelakon Lia Natalia yang baru berusia 23 tahun juga tidak terkecuali. Pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti TV Pilih Kasih musim kedua pada 2011 ini bagaimanapun mengakui, latahnya disebabkan badi akibat menyakat orang yang melatah.

“Saya mula melatah tahun lalu. Padan muka sendiri sebab selalu kacau orang melatah di set penggambaran, alih-alih saya pun melatah. Dulu, bila melatah, saya akan buat apa yang orang suruh buat tetapi sekarang, saya melatah sambil menjelir lidah pula.

“Kalau di set penggambaran, sayalah yang akan diusik hingga menceriakan keadaan. Pada satu peringkat, saya pernah nak tampar atau pukul orang apabila melatah. Tapi tidaklah terlalu esktrem. Macam sekarang di set penggambaran drama Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang yang turut dilakonkan Emma Maembong dan Kamal Adli, saya sering jadi bahan usikan. Emma memang gemar menyakat saya dan lihatlah gambar saya melatah di laman Instagramnya,” katanya.

PAKAR PSIKIATRIK BERKATA LATAH BUKANLAH SUATU PENYAKIT TETAPI SINDROM ATAU TINDAKAN DI LUAR KAWALAN YANG BERLAKU AKIBAT DARIPADA MENIRU PERBUATAN ORANG LAIN ATAU DISEBABKAN TEKANAN YANG DIHADAPI OLEH INDIVIDU ITU SENDIRI. LATAH DALAM KALANGAN GENERASI MUDA BAGAIMANAPUN KATANYA LEBIH BERTUJUAN UNTUK MERAIH POPULARITI. IKUTI PENJELASANNYA, ESOK DAN KETAHUI JUGA BAGAIMANA PENYAMPAI RADIO MENGAWAL LATAH KETIKA BERTUGAS.

MENARIK : Zul Ariffin Menangis Tengok Parodi Tombiruo